Majikan perlu ambil kira pelepasan cukai laksana PCB
KUALA LUMPUR 2 Feb. - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) meminta semua majikan melaksanakan sistem Potongan Cukai Bulanan (PCB) yang mengambil kira
pelepasan cukai tambahan pekerja mereka.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Mohd. Shukor Mahfar berkata, langkah itu bagi mengelak berlakunya kekurangan bayaran cukai yang terpaksa dibayar
oleh pekerja pada setiap akhir tahun.
"Antara pelepasan cukai yang diberi adalah kos perubatan, tanggungan ibu bapa, pembelian buku atau majalah dan komputer," katanya pada sidang akhbar
di sini hari ini.
Katanya, seramai 17,289 pembayar cukai telah membuat aduan kepada LHDN pada tahun lalu tentang bayaran PCB yang terlalu tinggi dikenakan ke atas
mereka.
"Pelaksanaan PCB ini juga untuk memastikan potongan cukai adalah sama atau hampir sama dengan cukai sebenar.
"Oleh itu, majikan seharusnya membantu pekerja membuat mana-mana 17 tuntutan pelepasan cukai tambahan yang berkaitan untuk mengurangkan jumlah cukai
yang perlu dibayar," katanya.
Menurut Mohd. Shukor, majikan turut diarah untuk membuat potongan sewajarnya melalui PCB selewat-lewatnya 10 haribulan setiap awal bulan.
"Justeru, pembayar cukai akan membayar cukai mereka terlebih dahulu sebelum ia ditaksirkan bagi mengurangkan masalah tunggakan cukai yang boleh
menyebabkan mereka berhutang dengan pihak kami dan kerajaan," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kaedah baru pengiraan PCB secara berkomputer memudahkan majikan membuat perkiraan sekiranya mereka menggunakan kaedah
pembayaran gaji berkomputer