Perkeso kompaun dua majikan langgar Akta Keselamatan Sosial Pekerja
4th June, 2010TAWAU: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Tawau mengkompaun dua daripada 10 majikan yang diperiksa di daerah ini pada Rabu kerana melanggar Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.
Pegawai Eksekutif Perkeso, Abdul Rahman Ramli, berkata tindakan itu diambil berikutan kedua-dua majikan tersebut masing-masing gagal melaporkan perusahaan dan pekerja mereka dalam tempoh yang ditetapkan.
Tindakan terbabit katanya dikenakan mengikut Seksyen 4 dan Seksyen 5, akta berkenaan.
Dalam hal sama, Abdul Rahman memberitahu bahawa pemeriksaan ke atas majikan-majikan itu dibuat selari dengan Ops Kesan yang dijalankan di seluruh negara bermula 2 Jun 2010.
Pada hari pertama Ops itu dijalankan ujarnya, pihaknya telah memeriksa beberapa premis perniagaan di kawasan Batu 2 Jalan Apas, Bandar Hos Spring dan Taman Sejati, Jalan Kuhara.
“Kami merasakan bahawa operasi yang dijalankan ini adalah berbentuk satu operasi kemanusiaan kerana ia dibuat demi menjamin hak-hak keselamatan pekerja.
“Justeru, kita berharap pihak majikan menyedari tentang tanggungjawab mereka ke atas pekerja dan mematuhi peraturan dan undang-undang yang sedia ada,” katanya lagi.
Sepanjang operasi itu dijalankan, Perkeso Tawau turut melekatkan pelekat ‘Ops Kesan’ di premis-premis perniagaan yang dilawati.